Program dua hari itu merupakan kerjasama pelbagai pihak termasuk Tourism Malaysia, Tourism Pahang, Managa, Persatuan Belia Seri Merapoh, Petzl, Allsport Equipment dan Pejabat Daerah Lipis.

Penyelaras program ber­ke­naan, Mohd. Syukri Jali, 40, berkata, penganjuran ReHogoh Merapoh Caves antara usaha untuk merancakkan sektor pelancongan dan hospitaliti di negeri ini, khususnya di Merapoh de­ngan melibatkan penyertaan pe­ngusaha bidang itu serta penggiat sukan ekstrem tempatan dan antarabangsa.

“Program ini dapat memper­kenalkan Kompleks Gua Batu Kapur Merapoh sebagai lokasi ke­giatan sukan ekstrem, riadah dan rekreasi, di samping pengetahuan tentang sejarah serta geologi di lokasi ini.

“Kami menggabungkan pemain sektor pelancongan dan hospitaliti dari Lembah Klang dan tempatan termasuk pertubuhan belia dengan kerjasama Tourism Pahang sebagai strategi meran­cakkan kehadiran ramai pengunjung ke sini,” katanya baru-baru ini.

Menurut Mohd. Syukri, perkataan 'hogoh' dalam program itu menterjemahkan komitmen bersungguh-sungguh penganjur dengan merangsang minat peserta melakukan kegiatan ekstrem iaitu mendaki dan menjelajah beberapa buah gua batu kapur di situ.

“Usaha ini memberi manfaat kepada pengusaha tempatan ya­ng terdiri daripada penduduk Merapoh memperoleh pendapatan me­nerusi bidang hospitaliti, pe­ngangkutan, makanan dan pemandu pelancong,” ujarnya.

Dalam tempoh program itu, tambahnya, para peserta me­nik­mati keseronokan ketika meng­eks­plorasi beberapa buah gua dan berdepan dengan cabaran menerusi aktiviti mendaki serta mempelajari selok-belok kemahiran mendaki laluan curam di Taman Ekstrem Gua Lima.

“Peserta juga berpeluang me­nikmati keindahan persekitaran dan menguji ketahanan fizikal serta mental,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta dari Helsinki, Finland, Venla Lavonen, 21, berkata, penganjur berjaya merancang aktiviti de­ngan lancar dan dia berpuas hati apabila berpeluang mendaki laluan curam serta melihat sendiri keindahan gua yang dipilih sempena program tersebut.

“Perjalanan merentasi denai dan hutan Taman Negara Sungai Relau sebelum memasuki kawasan kaki gua batu kapur juga menyajikan keindahan alam sekitar yang jarang terdapat di destinasi percutian lain,” ujarnya.