Itu antara cabaran yang diharungi sekumpulan 23 pendaki bernaung di bawah Kelab Mendaki RBO Negeri Pahang (RBO Team) sebelum berjaya menawan Gunung Fuji, Jepun kelmarin.

Difahamkan, kumpulan pendaki itu yang memulakan misi mereka Sabtu lalu adalah kumpulan pendaki terbesar dari Malaysia yang berjaya menawan puncak gunung dengan ketinggian 3,776 meter dari aras laut.

Pengerusi RBO Team, Abdul Rahim Othman berkata, kejayaan menawan gunung tertinggi di negara matahari terbit itu adalah cabaran baharu yang diharungi kumpulan berkenaan kerana hampir keseluruhan pendakian dilakukan pada sebelah malam.

“Kami memulakan pendakian seawal pukul 8 malam dan terpaksa menempuh perjalanan cukup mencabar dalam keadaan gelap. Selain laluan berbatu dan berdebu, pendaki juga diuji de­ngan laluan yang kami gelarkannya sebagai 'zig zag'.

“Jika tidak mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang cukup, pasti pendaki terkandas serta tidak dapat menyempurnakan misi tiba ke puncak gunung. Alhamdulillah, selepas berdepan segala cabaran, semua pendaki selamat tiba ke puncak dengan pendaki terawal tiba kira-kira pukul 8 pagi,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Abdul Rahim berkata, meskipun RBO Team sudah mendaki dan menawan lebih 10 puncak gunung di dalam dan luar negara namun cabaran Gunung Fuji adalah berbeza.

Katanya, cabaran mendaki Gunung Fuji yang terletak di daerah Chubu, Honshu, Jepun itu bukan sahaja memerlukan peserta bersedia dari sudut fizikal malah menuntut kekuatan mental yang mana mereka diuji dengan suhu sejuk serta debu gunung berapi sepanjang perjalanan.

Sementara itu, seorang peserta, Zafril Nasir, 36, berkata, pe­ngalaman menyertai ekpedisi Gunung Fuji sememangnya berbeza berbanding gunung lain yang pernah didakinya kerana keba­nyakan masa pendakian dilakukan pada sebelah malam.

“Selain suhu sejuk, pendakian ini juga dilakukan secara berterusan tanpa kami berhenti bermalam di mana-mana stesen persinggahan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Datin Dia­na Arnida Ahmad Kamal, 35, pula menyifatkan pendakian ke puncak gunung itu menguji tahap kesabaran dan kekentalan pendaki.

“Berkat sokongan dalam pasukan ini, saya akhirnya sampai ke puncak gunung. Kunci kejayaan semua pendaki dalam ekspedisi kali ini adalah semangat dan kerjasama dengan saling membantu antara satu sama lain,” katanya.