Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sejak sekian lama telah membuktikan berjaya mengotakan segala janji berbanding pembangkang yang hanya pandai menabur janji dan membuat pelbagai tohmahan.

“Kita mengalu-alukan sesiapa yang datang ke Pahang (termasuk pembangkang) datanglah kita tidak ada hal. Nama dia pembangkang, dia cari kesalahan kerajaan sahaja.

“Jadi mereka (orang ramai) dengar dan fikirlah, janganlah dengar fitnah tetapi periksa terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Munajat dan Rehlah Dakwah Perdana pe­ringkat negeri di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Biro Ekonomi dan Keusahawanan Kami Anak Felda (KAF), Datuk Amizar Abu Adam.

Adnan berkata, kunjungan bermusim pembangkang yang mula berkampung di negeri ini adalah semata-mata bagi menagih sokongan masyarakat dalam berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang semakin hampir.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa bersifat terbuka dan tidak pernah menghalang pembangkang turun ke negeri ini yang mengamalkan sistem demokrasi.

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat di negeri ini perlu berhati-hati dan tidak mudah mempercayai berita palsu yang boleh menghancurkan keamanan dan kestabilan negara.

Katanya, setiap berita yang diterima hendaklah dipastikan kesahihannya terlebih dahulu dan tidak perlu ditularkan kerana boleh menimbulkan kesan negatif.