Suspek yang berusia 31 tahun dan masih bujang dipercayai menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat untuknya membungkus dadah sebelum dijual untuk pasaran di sekitar daerah ini.

Ketua Polis daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan dalam serbuan yang dilakukan polis pada pukul 3.30 pagi Sabtu lalu.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemukan satu bekas plastik berwarna biru yang mengandungi dua bungkusan plastik cerah. Setiap satu daripadanya mengandungi satu peket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin.

“Anggaran berat dadah jenis heroin yang dirampas ialah 919.17 gram bernilai kira-kira RM50,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD), di sini semalam.

Yang hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah, Asisten Superintenden Yusof Kamis.

Menurut Wan Mohd. Zahari, hasil siasatan awal, suspek mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya dan polis masih menyiasat rakan mangsa yang terlibat dan punca bekalan dadah berkenaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya dan siasatan masih giat dilakukan dari segenap sudut,” katanya.