Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, selain itu, penubuhan pusat ber­kenaan menimbulkan tanda tanya dari segi kelayakan tenaga pengajar di situ.

“Apa yang menjadi keutamaan kerajaan negeri adalah kebajikan pelajar di pusat ini. Saya tidak mahu ulas soal kesalahan yang dilakukan kerana masih dalam siasatan polis.

“JAIP juga sedang memantau pusat ini kerana tidak berdaftar dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip). Dari segi itu, JAIP akan mengambil tindakan sewajar­nya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan dan bertemu dengan pelajar yang didakwa menjadi mangsa dera di pusat tahfiz tersebut semalam.

Kelmarin, seorang pelajar tahfiz di Tok Sira dikatakan bukan sahaja dirotan di badan dan kepala tetapi dicucuh api serta diugut digunting kemaluannya oleh dua tenaga pengajarnya selepas dikatakan terlalu nakal.

Difahamkan, kanak-kanak itu dipukul kerana sering melakukan kesalahan iaitu kencing berdiri, mencuri barang dan tidak mencuci selepas buang air besar.

Shahaniza berkata, pusat tahfiz yang beroperasi sejak 2014 itu adalah milik persendirian dan mempunyai sembilan pelajar berusia lapan tahun hingga 17 tahun.

“Saya telah berbual dengan pelajar terbabit dan dia tidak trauma sebaliknya mengakui kesilapannya yang kencing merata-rata tempat sehingga dia didenda.

“Bapa pelajar berkenaan juga sedia maklum berhubung perkara itu dan terus menempatkan anaknya di situ,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan ne­geri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan JAIP akan terus memantau pusat tahfiz berkenaan bagi memastikan kebajikan pelajar di situ terbela.