Penganjuran aktiviti seumpama itu sentiasa mendapat sambutan apatah lagi generasi masa kini semakin meminati sukan lasak sebagai gaya hidup mereka.

Sehubungan itu, penganjuran Eksplorasi Berakit Sungai Pahang oleh Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Pahang di Pekan, dekat sini selama tiga hari baru-baru ini amat dinantikan oleh para peserta yang majoritinya terdiri daripada belia tanah rancangan berkenaan.

Penganjurannya turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengajian Tinggi, Inovasi dan Pembangunan Generasi Baharu Felda serta Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang.

Para peserta yang mengambil bahagian dalam program itu memperoleh pengalaman berharga ‘mengharungi’ Sungai Pahang sekali gus memberi peluang kepada mereka menyaksikan keindahan alam sekitar selain menyelami kehidupan masyarakat sekitar.

Mereka menempuh perjalanan sejauh 65 kilometer bermula dari Kampung Salong, Chini dan berakhir di Dataran Waterfront Pekan yang menguji tahap kerjasama dan semangat berpasukan bagi menghabiskan cabaran.

Program Eksplorasi Berakit Sungai Pahang bertujuan mengeratkan hubungan antara kepemimpinan MBFM Pahang dengan agensi kerajaan, masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ia juga bertujuan membina jenama dan imej belia Felda dalam memastikannya menjadi ikutan atau contoh kepada komuniti lain selain melahirkan semangat jati diri khususnya kepada golongan muda di tanah rancangan itu yang menyertai program tersebut.

Di samping itu, aktiviti mendapat sokongan padu daripada Pengerusi Jawatankuasa Hal Eh­wal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun tersebut bermatlamat memperkenalkan MBFM Pahang menerusi aktiviti dan program yang menjiwai serta mendekati masyarakat luar dari tanah rancangan berkenaan.

Eksplorasi bermula dari Kampung Salong di Chini dengan menyusuri Sungai Pahang dan singgah bermalam di Kampung Ganchong sebelum meneruskan aktiviti berakit sehingga ke Dataran Waterfront Pekan.

Selain berakit, pelbagai program lain diadakan seperti Ziarah Kasih yang melibatkan kerjasama antara MBFM Pahang dan Kelab Akar Budi Pahang di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pekan iaitu Chini, Bebar, Peramu Jaya dan Pulau Manis.

Aktiviti lain dilaksanakan sebagai pengisian program tersebut ialah kenduri kampung, Malam Riuh Sekampung dan persembahan fiesta dikendalikan Jabatan Penerangan.

Abu Bakar berkata, tujuan utama program itu dianjurkan adalah membina imej belia Felda dalam memastikan ia menjadi ikutan kepada komuniti lain.

Beliau berkata, penganjurannya juga dapat melahirkan semangat jati diri khususnya kepada belia Felda di samping dapat mendekati masyarakat luar dari tanah rancangan itu.

“Usaha yang dibuat ini secara tidak langsung dapat memperlihatkan komitmen belia kepada masyarakat setempat sekali gus menonjolkan bahawa inilah generasi baharu Felda,” katanya pada majlis perasmian program itu.

Menurut Abu Bakar, aktiviti dianjurkan itu unik dan dapat meningkatkan kecintaan kepada alam sekitar serta kepentingan sungai dengan mendedahkan peserta kepada kehidupan masyarakat yang tinggal di pinggir sungai.

“Kita perlu mencintai alam semula jadi termasuk Sungai Pahang yang dijadikan tempat mencari rezeki penduduk di sekitarnya. Sebab itu ia perlu dijaga sebaik mungkin,” katanya.