Setiausaha MDL, Mohd. Pauzi Abu Hussaini berkata, PSAU yang terletak bersebelahan Pasar Bu­nga Cengkih itu dibina menerusi peruntukan Kementerian Kese­jahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan mula beroperasi bulan lalu dengan dilengkapi pelbagai kemudahan.

Beliau berkata, PSAU dilengkapi kemudahan lima unit gerai dan stor, tempat menyembelih, ruang pemprosesan, tempat merebus dan mencabut bulu ayam, dua buah tandas dan kawasan meletak kenderaan.

“Projek ini menggantikan premis lama sejajar dengan pertumbuhan kawasan bandar Kuala Lipis dan untuk keselesaan penduduk.

“Kawasan premis lama pusat sembelihan dan jualan ayam di sini akan dirobohkan bagi tujuan pembangunan pusat komersial tidak lama lagi,” katanya selepas majlis perasmian PSAU oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad baru-baru ini.

Yang hadir sama Yang Dipertua MDL, Datuk A. Rahman Hamzah dan Ahli MDL, Datuk Abu Jimi Samat.

Menurut Mohd. Pauzi, lima pe­niaga yang mengendalikan premis PSAU di sini telah memperoleh pensijilan halal dan mereka bertanggungjawab mematuhi peraturan perniagaan berasaskan syariah.

Melalui kemudahan di PSAU itu, katanya, orang ramai dapat berbelanja tanpa was-was dan memperoleh ternakan ayam dan unggas secara halal menerusi kaedah pemprosesan yang mematuhi syariat Islam termasuk jaminan kebersihan.

“Projek premis sembelihan dan jualan ternakan ini selari dengan hasrat MDL untuk mewujudkan pengurusan perbandaran berorientasikan syariat Islam khususnya pemprosesan halal ternakan dan perniagaan produk makanan lain untuk penduduk di sini,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga ayam, Wan Mohd. Suhaimi Wan Mohd Ariff, 40, berkata, dia berasa selesa menjalankan opera­si penyembelihan dan pempro­sesan ayam di pusat berkenaan kerana terdapat kemudahan peralatan yang moden serta ruang lebih luas.

Katanya, kewujudan PSAU mencerminkan wawasan MDL menerusi semua pengurusan perniagaan berasaskan peraturan halal dan kebersihan selari dengan tuntutan Islam.

“Pembinaan PSAU memang tepat pada masanya memandang­kan semakin ramai penduduk di sini berbelanja termasuk dalam kalangan yang bukan beragama Islam yang memerlukan ternakan ini diproses secara halal dan bersih,” katanya.