Kejohanan anjuran bersama persatuan belia Kampung Hulu Cheka dan Kampung Koi itu bukan sahaja untuk menyemarakkan kegiatan riadah malah bertujuan memperke­nalkan program inap desa Kampung Hulu Cheka kepada orang ramai.

Pengerusi kejohanan, Abdul Azzim Ismail berkata, pertandi­ngan itu mendapat sokongan daripada penghulu mukim pasukan masing-masing­ yang menaja penginapan dan yuran penyertaan.

Katanya, selain menguji kemahiran pemain dalam sukan bola sepak termasuk me­rebut hadiah lumayan dalam semangat kesukanan, kejohanan dua hari itu juga dapat mempromosikan program inap desa di situ kepada pe­ngunjung luar.

“Kehadiran pemain dari sekitar negeri ini yang menyertai kejohanan ini cukup signifikan dalam usaha jawatankuasa program inap desa di sini memperkenalkan kampung kelahiran pejuang era penjajah Jepun dan British iaitu Pawang Nong, pusat pelancongan Gunung Benum dan bunga Rafflesia yang banyak tumbuh di hutan berdekatan kampung ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Abdul Azzim, kehadiran orang ramai bukan sahaja memeriahkan kejohanan tersebut tetapi secara langsung menjana pendapatan pemilik rumah inap desa di sini termasuk meningkatkan pasaran kraf tangan dan makanan tempatan.

Katanya, jawatankuasa inap desa Kampung Hulu Cheka akan terus menganjurkan kejohanan seperti itu bagi membolehkan orang ramai bersukan dan berekreasi sesuai dengan amalan gaya hidup sihat.

“Kejohanan ini merupakan titik permulaan sebagai serampang dua mata untuk kita memperkenalkan Kampung Hulu Cheka sebagai sebuah lokasi ekopelancongan di daerah ini dan negeri ini amnya,” katanya.