Pengerusi Jawatankuasa Ko­pe­rasi, Keusahawanan dan Ke­penggunaan negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin berkata, pihak yang terlibat telah selesai mengukur kawasan-kawasan ber­-
kenaan baru-baru ini.

Beliau berkata, kerja-kerja tersebut yang bermula pada tahun lepas bertujuan mengetahui jumlah sebenar keluasan tanah kerajaan yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan tersebut.

“Kesahihan keluasan dan data tanah itu penting bagi memudahkan kerajaan merancang atau melaksanakan projek untuk rakyat seperti penyediaan lot tapak rumah, projek pembesaran kampung dan pertanian.

“Kerajaan negeri komited membela nasib penduduk di kawasan luar bandar menerusi pelaksanaan projek-projek seper­ti ini,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Unit Peladang Desa Kampung Keloi Ulu Dong di sini semalam.

Shahiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, dengan wujudnya kawasan pertanian dan perumahan, masa depan penduduk lebih terjamin serta taraf hidup mereka dapat ditingkatkan.

Katanya, penduduk di luar bandar digalak mengusahakan projek pertanian kerana sektor tersebut merupakan sumber utama penduduk di kawasan berkenaan.

“Penduduk juga dinasihatkan mengusahakan tanah-tanah terbiar dengan tanaman kontan yang hasilnya boleh membantu menampung perbelanjaan keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan permohonan pen­-
duduk Kampung Temelian di sini bagi projek pembesaran kampung dan menaik taraf jalan sepanjang 1.5 kilometer.

Beliau turut menyokong cadangan penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di situ walaupun hanya mempunyai kira-kira 70 buah rumah penduduk.

“Mempunyai JKKK sendiri memudahkan penduduk di kampung itu mengemukakan terus permasalahan mereka,” katanya.