Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, kerajaan tidak mengetepikan pembangunan di pesisir sungai tetapi perlu lebih berhati-hati di samping memerlukan perancangan rapi daripada semua pihak jika ingin membina premis dan kemudahan di kawasan berkenaan.

Kata beliau, banjir hujung tahun lepas banyak memberi pengajaran bahawa perancangan menyediakan infrastrukur kawasan pesisir sungai perlu lebih teliti untuk mengelakkan kemusnahan teruk jika musibah itu melanda lagi.

“Bukan kerajaan menolak pe-rancangan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan belia setempat dan pihak tertentu yang ingin membangunkan kawasan pesisir sungai bagi menjadikannya sebagai tapak pertanian serta pusat pelancongan.

“Penting untuk melihat kesesuai-an dan relevannya bagi manfaat penduduk serta orang ramai sebelum mengeluarkan peruntukan pembinaan sesuatu projek,” katanya kepada pemberita selepas program gotong-royong dan majlis pelancaran Pusat Rekreasi Pulau Berala, Kuala Telang dekat sini semalam.

Menurut Abdul Rahman, JKKK dan persatuan belia yang ingin memajukan kawasan pesisir sungai wajar menyediakan pelan pe-rancangan komprehensif dengan pelaksanaan projek jauh daripada tebing sungai termasuk spesifikasi premis membabitkan peruntukan rendah serta lebih menjimatkan.

“Pengalaman menghadapi musi-bah banjir di pesisir Sungai Jelai dan Sungai Lipis menyaksikan banyak kemudahan asas yang dibina terjejas teruk melibatkan kos tinggi untuk kerja pemulihan pascabanjir terma-suk pembinaan baharu,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata, kerajaan bagaimanapun tetap membangunkan kawasan pesisir sungai kerana lokasi berkenaan mempunyai tanah subur untuk projek pertanian dan pusat rekreasi bagi penjanaan sektor pelancongan di daerah ini.