Timbalan Pengarah Pemban­gunan Kejurulatihan Pendidikan Teknik dan Vokasional, Mo­­hamad Samad berkata, ini kerana bidang pembelajarannya diperkukuh bagi mengisi keperluan industri menjelang 2020.

Beliau berkata, jaringan TVET yang terdapat di seluruh negara telah digembleng dengan memberi peluang kepada lebih ramai golongan muda menceburi bidang vokasional tinggi.

“Strategi ini adalah selari de­ngan sasaran kerajaan untuk mewujudkan sekurang-kurang­nya 35 peratus tenaga mahir negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Persepsi negatif terhadap graduan TVET perlu dikikis kera­na mereka sangat berkelayakan bagi mengisi pelbagai jawatan tenaga kerja mahir dalam industri negara,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Sijil Vokasional 2017 Kolej Vokasional Pertanian Chenor di sini kelmarin.

Yang hadir sama Pengarah Ko­lej Vokasional Pertanian Chenor, Norbashah Abu Bakar dan Yang Dipertua Majlis Permuafakatan kolej vokasional berke­naan, Faizal Abu Bakar.

Menurut Mohamad, tugas yang mencabar adalah melahirkan tenaga kerja yang dapat memenuhi kehendak industri tempatan sekali gus mengelakkan kebergantungan kepada buruh asing.

Katanya, sekurang-kurang­nya 3.3 juta pekerja mahir nega­ra diperlukan dalam tempoh 10 tahun akan datang yang bakal mencorakkan pembangunan negara dalam era itu.

“Program TVET dibentuk bagi memenuhi keperluan kedua-dua industri tempatan dan glo­bal serta permintaan terhadap kualiti dan tenaga kerja mahir.

“Tenaga kerja mahir dan kompeten merupakan aset penting bagi melestari dan menjayakan agenda Transformasi Pendidikan Vokasional,” ujarnya.