DATUK PADUKA ZUHAIRI AB. KADIR
DATUK PADUKA ZUHAIRI AB. KADIR 

Presidennya, Datuk Paduka Zuhairi Ab. Kadir berkata, warga asing yang berdaftar di bawah program itu akan diberikan kad peserta yang mengandungi maklumat diri mereka.

“Kad tersebut dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti maklumat diri pemilik seperti nama, asal serta statusnya di negara ini.

“Kami akan membuka kaunter pendaftaran selama dua minggu di Pasar Borong Selayang dan meletakkan sasaran lebih 1,500 warga asing akan berdaftar memandangkan kad itu juga memberi banyak kemudahan kepada mereka dan keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zuhairi berkata, program tersebut merupakan inisiatif Peka dalam membantu warga asing dari ditipu ejen mahupun sindiket tidak berdaftar di negara ini yang menawarkan khidmat pengurusan dokumentasi tetapi memberikan yang palsu dan mengenakan caj mahal.

“Sepanjang tempoh pendaftaran berlangsung, setiap peserta berpeluang mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan pihak perubatan swasta yang turut berada di lokasi,” katanya.

Menurutnya, kad peserta itu mempunyai fungsi yang dilengkapi dengan sistem Touch ‘n Go untuk kemudahan sampingan berbelanja yang boleh digunakan di semua tempat yang mempamerkan logo sistem berkenaan.

“Selain itu, warga asing yang berdaftar di bawah program ini turut mendapat banyak manfaat memiliki kad ini seperti dilindungi insuran apabila ditimpa kemalangan termasuk mendapat pampasan kematian.

“Setiap mereka turut disediakan bantuan khidmat guaman secara percuma sewaktu menghadapi masalah, urusan pengebumian atau penghantaran pulang jenazah ke negara asal,” katanya.

Beliau berkata, setiap peserta program itu akan diberikan kad prabayar Visa Merchantrade Money yang membolehkan mereka membuat pembayaran serta pengeluaran tunai di mesin pengeluaran automatik (ATM) di setiap bank yang menerima urus niaga Visa selain perkhidmatan pengiriman wang di cawangan Merchantrade dan ejen-ejen terpilih.

“Kami juga mengambil berat aspek bantuan pengurusan dokumentasi yang diperlukan mereka dari pihak kerajaan serta menerima aduan tentang masalah seperti tidak dibayar gaji, didera majikan atau dipaksa melakukan sesuatu diluar skop kerja yang akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa,” katanya. - UTUSAN ONLINE