Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, negeri ini mempunyai potensi besar untuk meningkatkan lagi hasil pendapatan dan kerajaan sewajarnya bersikap proaktif dalam menggalakkan pelaburan swasta terutama dalam sektor pembuatan.

“Taman Teknologi Pahang mempunyai potensi tinggi untuk dijadikan sebagai hub industri makanan halal, bioteknologi, teknologi maklumat, komunikasi dan agriteknologi yang dikenal pasti sebagai perniagaan global paling pantas berkembang ketika ini,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Persidangan Undangan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Tengku Abdullah juga mahu tumpuan diberikan terhadap potensi besar dalam sektor pertanian dan penternakan de­ngan memanfaatkan penggunaan teknologi yang mampu meningkatkan produktiviti.

Dalam pada itu, baginda menyeru Jabatan Perhutanan negeri supaya menggunakan teknologi semasa dan tidak hanya bergantung kepada kaedah penguatkuasaan tradisional dalam membendung aktiviti pembalakan haram.

“Penggunaan teknologi remote sensing dan geographic information system mapping boleh mengesan aktiviti pembalakan haram dalam masa singkat. Aktiviti pemantauan udara dengan menggunakan unmaned ariel vechile juga boleh melipatgandakan keberkesanan usaha-usaha pencegahan,” titah baginda.

Pemangku Raja Pahang turut mengingatkan keperluan memulihara sungai yang mempunyai banyak kepentingan kepada kehidupan rakyat terutama sebagai sumber air mentah.

Sejak akhir-akhir ini, titah baginda, sikap mengambil mudah terhadap kepentingan sungai sangat jelas dipertontonkan yang mana sampah-sarap dan sisa buangan industri disalur terus ke dalamnya seolah-olah tanpa kawalan.

“Kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencemari sungai dan merosakkan alam semulajadi,” titah baginda.