Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, keunikan portal berkenaan adalah sebagai hub perpaduan dan peradaban bagi menyantuni serta menyatukan komuniti global berteraskan sumbangan umat terhadap keharmonian dunia terutama melalui pengurusan kepelba­gaian sains dan teknologi.

“Pembangunan portal de­ngan kerjasama Bahagian Tek­no­logi Pendidikan Negeri Pahang (BTPN) ini menyaksikan ia mengandungi 40 modul ber­kaitan perpaduan dan peradaban yang boleh dimanfaatkan ge­nerasi muda serta pendidikan awal kanak-kanak,” katanya pa­da majlis penutup Festival Aku Darah Anak Malaysia (ADAM) sempena sambutan Hari Kebangsaan di Dewan Astaka UMP dekat sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Daing Nasir berkata, kewibawaan universiti sebagai gedung ilmu pengetahuan dan iklim kesarjanaannya menuntut warga UMP melihat patriotisme tersebut dari dimensi tersendiri.

Kata beliau, penganjuran Fes­tival ADAM berkenaan dapat dioptimumkan peranannya sebagai semaian subur patriotisme dalam kalangan warga kerja serta mahasiswa univeristi tersebut.

“Dimensi patriotisme ini ada­lah keupayaan untuk men­da­kap standard pemikiran kelas pertama dan budaya tinggi yang disertai kesedaran sivik dan penghayatan nilai etika.

“Dimensi inilah yang sekian lama menjadi cabaran kepada kita warga Malaysia untuk di­rea­­lisasikan. Menuju aspirasi menjadi negara maju, soal pemikiran, budaya, sivik dan etika begitu kritikal sebagaimana yang berjaya dibuktikan oleh rakan-rakan kita di Jepun,” katanya.