Presiden PKSP, Zulkeply Se­nek berkata, program julung kali diadakan itu membabitkan penyertaan seramai 20 penghuni yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 12 tahun.

“PKSP yang baharu ditubuhkan sejak November lalu berazam melaksanakan kerja-kerja kebajikan terutama dalam membantu golongan memerlukan ter­masuk anak yatim.

“Sebelum ini kami buat program berbentuk kerohanian dan sempena sesi persekolahan baharu yang akan dibuka dua hari lagi, kami terfikir untuk me­ngadakan program yang boleh memberi manfaat kepada murid sekolah, terutamanya mereka yang kurang bernasib baik,” katanya kepada pemberita di sini.

Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan, [email protected] Nordin.

Yang turut hadir ialah Yang Dipertua Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, Badrul Huzaini Mohd. Yusof.

Menurut Zulkeply, pihaknya berbesar hati apabila pihak pe­ngurusan rumah anak yatim itu memberi peluang kepada PKSP untuk menjalankan program di situ.

“Meskipun kami masih baharu tetapi hasrat penubuhan PKSP adalah bersama-sama komuniti menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan dan dalam masa yang sama menarik anak-anak muda terlibat dalam kerja amal.

“Justeru, PKSP mensasarkan keahlian sehingga 300 orang pada tahun pertama penubuhan dengan kini penglibatan aktif seramai 50 orang,” jelasnya.

Sementara itu, Nara ketika berucap merasmikan program itu berkata, usaha dilakukan PKSP perlu disokong dan Pemuda UMNO Bahagian akan sentiasa bersama dengan mana-mana pihak yang ingin me­lakukan kebajikan di kawasan Kuantan.

Katanya, Pemuda UMNO Bahagian juga akan berbincang dengan pihak PKSP untuk me­rangka lebih banyak program kemasyarakatan pada masa akan datang.

Sementara itu, Badrul Huzaini berkata, pihaknya mengalu-alukan persatuan atau kelab dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin mengadakan program bersama anak yatim dan miskin di rumah kebajikan kelolaannya.