Pengusaha makanan itu, Nor Rosidah Osman, 30, berkata, kedainya di Kampung Bukit Genting di sini mula beroperasi Oktober tahun lalu dan mendapat sambutan menggalakkan sehingga ada waktunya pe­langgan beratur panjang untuk mendapatkan Piza Anak Dol.

“Kami menyediakan sembilan jenis hidangan piza termasuk Ayam Aloha, Thousand Island, Chezzy Lover dan Da­ging Blackpepper.

“Kami juga mempunyai dua menu istimewa iaitu piza sambal hitam dan sambal petai yang tidak terdapat di tempat lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Nor Rosidah, dia menyediakan tiga jenis saiz piza iaitu kecil berharga RM13, sederhana (RM17) dan besar (RM23).

“Bagi piza sambal hitam dan sambal petai pula dijual pada harga lain iaitu saiz kecil RM15 dan sederhana (RM20) manakala yang besar (RM28),” ujarnya.

Dia memberitahu, hampir 200 keping piza dijual pada hari biasa manakala jumlahnya melebihi sekali ganda pada hari cuti.

Menurutnya, kedainya ber­operasi pada hari Selasa hingga Ahad bermula pukul 12 tengah hari hingga 7 petang dan tutup pada Isnin.