Pengurus Besar Wilayah Felcra Pahang, Datuk Abdul Muta­lib Tais berkata, dividen tersebut adalah keuntungan yang dijana menerusi 53,000 hektar tanah di negeri ini yang dibangunkan dengan sektor perladangan sawit dan getah.

“Setiap peserta berkenaan sudah menerima bayaran interim kedua antara RM1,000 hingga RM5,000 mengikut keluasan tanah masing-masing.

“Peningkatan agihan dividen interim kedua ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu adalah hasil kenaikan harga komoditi dan kecekapan pengurusan Felcra,” katanya selepas Program Ceria Ke Sekolah Felcra Pahang di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Penolong Pegawai Pendidikan Lipis (Perhubungan), Zulfakhri Idris.

Dalam program berkenaan, seramai 300 murid dan pelajar miskin di kawasan Parlimen Lipis menerima kelengkapan persekolahan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Felcra.

Menurut Abdul Mutalib, Felcra sehingga ini sedang menyelenggarakan kira-kira 33,000 hektar kawasan bagi projek ta­nam semula sawit dan getah di seluruh negeri ini tahun ini.

“Dalam tempoh tanam semu­la ini, kita menyediakan wang sara hidup kepada peserta berke­naan melibatkan bayaran empat bulan sekali iaitu bernilai RM280 bagi tempoh empat tahun (sawit) dan enam tahun (getah),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sumbangan beg sekolah, pakaian seragam dan alat tulis kepada murid serta pelajar berke­naan bertujuan membantu meringankan beban dalam kalangan keluarga miskin membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka.

“Menerusi Program Ceria Ke Sekolah Felcra, kita telah me­nyumbangkan kelengkapan per­sekolahan kepada seramai 350 penerima di Parlimen Paya Besar, Parlimen Kuala Krau (300 orang) dan Parlimen Lipis (300 orang) membabitkan peruntukan seba­nyak RM300,000,” katanya.