Pertandingan Moh Lawokan Bandar Kite itu diadakan dengan kerjasama Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dengan memfokuskan kepada lukisan mural di dinding premis yang mengadap landasan dan stesen kereta api berdekatan bandar lama Jerantut.

Pengerusi MKDJ, Tengku Asmaliza Ku Lah berkata, menerusi pertandingan tersebut, dinding premis bangunan bersejarah di bandar lama itu khususnya yang mengadap jalan kereta api akan diwarnai dengan mural bertemakan patriotik, alam sekitar dan motif yang melambangkan cara hidup masyarakat setempat.

“Kita mahu tarik perhatian khususnya pelancong asing yang transit di sini atau penumpang kereta api yang dalam perjalanan dari Kelantan ke Gemas melalui bandar ini menyaksikan lukisan mural di dinding premis ini.

“Bandar lama Jerantut yang mempunyai nilai sejarah Bri­tish dan pusat perniagaan bagi semua kaum di sini sejak abad ke-19 perlu diberi imej baharu dengan gambaran warni-warni lukisan mural yang bermotifkan unsur tempatan,” katanya di sini hari ini.

Tengku Asmaliza yang juga Yang Dipertua MDJ berkata, sebuah jawatankuasa dibentuk dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk menyelenggarakan pertandingan lukisan mural berkenaan yang berlangsung tiga hari bermula 29 September ini.

Katanya, borang penyertaan pertandingan itu boleh didapati di Urus setia Pertandingan Lukisan Mural MKDJ di pejabat MDJ pada waktu pejabat.

“Penggiat seni dan orang ramai dipelawa menyertai pertan­dingan ini secara berkumpulan, iaitu tidak lebih daripada lima peserta dan hanya terbuka kepada penduduk daerah ini.

“Borang penyertaan beserta contoh lukisan mural bersaiz A3 hendaklah dikemukakan kepada urusetia pertandingan di pejabat MDJ terlebih dahulu sebelum atau pada 18 September ini,” kata beliau lagi.