Pengarah Unit Strategi Nasio­nal Kementerian Kewangan, Da­tuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, inisiatif Bahtera antara lain sebagai platform terbaik untuk merapatkan jurang maklumat da­lam kalangan usahawan.

Beliau berkata, program berkenaan dapat membantu usahawan merangsang perniagaan mereka menerusi maklumat perniagaan pintar dan strategi penjenamaan berkesan yang selari dengan pelaksanaan teknologi.

“Bahtera menyasarkan untuk memperkukuh hubungan usahawan bumiputera dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung dalam aktiviti keusahawanan di negara ini,” katanya selepas melawat kios Laziz Patin di Hentian Rehat dan Rawat Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Temerloh, di sini semalam.

Aminuddin berkata, kios Laziz Patin antara yang menerima bantuan Unik Strategi Nasional untuk membekalkan ikan patin segar dalam sangkar kepada orang ramai.

Katanya, Bahtera mempu­nyai aspirasi untuk mendapatkan pe­nglibatan usahawan di semua peringkat dan penglibatan komuniti perniagaan usahawan bumiputera.

Usaha berkenaan, katanya, membabitkan sektor usahawan pengeluaran makanan yang me­nerima pelbagai bantuan dan ke­istimewaan oleh kerajaan dalam meningkatkan lagi urus niaga mereka.

Menurutnya, bidang keusa­ha­wanan banyak diberikan pe­nekanan oleh kerajaan bagi me­lonjakkan taraf kehidupan rakyat yang semakin ramai terlibat dalam sektor itu.

“Sokongan kerajaan ini memberi kesan positif berdasarkan perkembangan pesat dalam sektor keusahawanan terutama sektor pengeluaran makanan yang semakin bertambah,” katanya.