Kejadian curi hasil getah yang berlaku sejak beberapa tahun lalu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sehingga menjejaskan periuk nasi penoreh.

Seorang penoreh, Gwee Ah Bee, 57, berkata, dia terkilan dengan kejadian yang menimpanya itu dan berlaku hampir setiap hari.

“Saya mempunyai kebun getah seluas hampir 2.4 hektar yang menjadi sumber pendapatan, namun hasilnya semakin berkura­ngan akibat dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Mereka bukan sahaja mencuri hasil getah, malah semakin berani dengan menorehnya sendiri pada waktu malam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kali terakhir dia membuat laporan polis berhubung kecurian berkenaan pada 20 Ogos lalu, namun belum dapat diatasi.

Seorang lagi penoreh, Woo Kow Wan, 62, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM3,000 setelah hasil getahnya dicuri baru-baru ini.

“Saya pernah terserempak dengan sekumpulan lelaki dipercayai mencuri hasil getah di kampung ini, namun gagal menangkap mereka,” katanya.

Sementara itu, pembeli getah berlesen, Syahril Asri Sapi, 25, mendakwa, dia pernah didatangi beberapa individu yang ingin menjual hasil getah, namun tidak dilayannya kerana berasa curiga.

“Mereka ingin menjual de­ngan jumlah yang banyak dan saya rasa ini bukan hasil dari kebun sendiri sebaliknya mungkin dicuri dari kebun orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan memberitahu, pihaknya bersimpati dengan nasib penoreh dan bekerjasama dengan pihak berkuasa serta penduduk kampung untuk mengesan pencuri getah bagi memastikan masalah berke­naan diselesaikan dalam masa terdekat.