Pengarah Perikanan negeri, Datuk Adnan Hussain berkata, jumlah pengeluaran ikan dalam sangkar termasuk patin dan talapia di Sungai Pahang di sini pada tahun lalu adalah sekitar 543 tan metrik berbanding sebanyak 1,463 tan metrik pada 2013.

“Sejak kejadian banjir besar, pengeluaran ikan dalam sangkar di daerah ini berdepan sedikit masalah yang mana pada 2014 pengeluaran yang direkodkan adalah sebanyak 1,207 tan metrik sebelum menurun kepada 631 tan metrik pada 2015 dan 543 tan metrik tahun lalu.

“Penurunan pengeluaran ha­sil ternakan ini adalah disebabkan kejadian banjir besar yang menyebabkan banyak sangkar ikan rosak disusuli fenomena El Nino pada 2015 dan 2016,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas mengikuti program lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek di projek ternakan ikan dalam sangkar Temerloh, baru-baru ini.

Menurut Adnan, Jabatan Perikanan negeri memandang serius perkara itu dan mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam usaha meningkatkan pengeluaran ikan dalam sangkar di daerah ini yang terkenal dengan ternakan ikan patin.

Antara langkah yang diambil, kata beliau, adalah dengan me­nyalurkan bantuan kepada penternak yang terjejas.

Selain itu, kata beliau, pihak­nya juga melakukan pemantauan berterusan dan memberi­kan khid­mat nasihat serta bantuan kepada penternak-penternak ikan di daerah ini.

“Berdasarkan usaha dilakukan dan keadaan cuaca yang baik pada tahun ini, penternakan ikan di daerah ini dilihat kembali pulih,” katanya.

Beliau berkata, jumlah sangkar ikan yang di­usahakan di daerah ini pada masa ini adalah sebanyak 2,861 unit dengan keluasan 34,322 meter persegi.

“Pengeluaran akuakultur ke­seluruhan merangkumi sistem sangkar, kolam dan tangki dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah sebanyak 246.7 tan metrik dengan nilai kira-kira RM3.7 juta,” katanya.