Lebih dikesalkan mereka, rumah pam kawalan banjir itu sudah hampir tujuh bulan rosak selepas bilik kawalan elektriknya terbakar pada Disember tahun lalu namun tiada tindakan segera diambil oleh pihak berkaitan untuk memperbaikinya.

Bendahari PAKR Sungai Pandan 2, Siti Zulkaedah Sheikh Zulkefeli, 40, berkata, kegagalan rumah pam itu berfungsi menga­kibatkan sistem perparitan dipenuni timbunan sampah-sarap dan penduduk berdepan risiko dilanda bencana banjir terutama pada musim tengkujuh memandangkan perumahan berkenaan terletak di kawasan rendah.

“Rumah pam ini berfungsi mengepam air keluar setiap kali hujan lebat namun kerosakan di bilik kawalan elektrik yang belum dibaiki mengakibatkan penduduk berada dalam kebimbangan.

“Nasib penduduk juga diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga apabila loji kumbahan gagal berfungsi dengan baik yang menyebabkan mereka berdepan masalah menguruskan air kumbahan di rumah masing-masing,'' katanya selepas menyertai lawatan dan pertemuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Datuk Mohd. Zaili Besar dengan wakil agensi berkaitan di kawasan perumahan berkenaan hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, Mohd. Zaili mengadakan perbincangan dan dialog dengan mereka bagi mencari jalan penyelesai­an segera terhadap masalah yang membelenggu penduduk di situ.

Menurut Siti Zulkaedah, penduduk PAKR Sungai Pandan 2 yang majoritinya beragama Islam juga mengharapkan pembinaan sebuah surau bagi memudah dan memberikan keselesaan kariah di situ beribadah.

“Buat masa ini, pembinaan sebuah surau amat diperlukan penduduk memandangkan masjid terletak agak jauh dari kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zaili berkata, masalah dan keperluan penghuni PAKR Sungai Pandan 2 itu sudah dibangkitkan kepada pihak berkaitan dan berharap tindakan segera dapat diambil bagi memastikan keselamatan serta keselesaan penduduk terjamin.

Beliau meluahkan kebimbang­an tentang nasib yang bakal dihadapi penduduk terutama melibatkan kerosakan rumah pam kawalan banjir kerana musim tengkujuh lazimnya akan melanda negeri ini tidak lama lagi.

“Hasil pertemuan saya dengan pihak berkaitan menunjukkan petanda positif dan berharap tindakan segera dapat diambil bagi menyelesaikan masalah-masalah dan memenuhi keperluan yang dibangkitkan,” katanya.