Lebih signifikan bagi kira-kira 1,000 ahli kariah kampung berkenaan, mereka mula menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid baharu itu baru-baru ini.

Rumah ibadat yang menjadi simbol pembangunan syiar Islam kampung tradisional Melayu Hulu Cheka tersebut dibina bagi menggantikan masjid lama yang sudah uzur terletak berdekatan dengan premis baharu itu.

Seorang penduduk, Muhamad Fasal Jamlus, 37, berkata, kemudahan tempat ibadat itu merupakan rahmah pada bulan Syawal sekali gus merealisasikan penantian penduduk untuk menggunakannya.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana mencetuskan fenomena baharu pembangunan syiar Islam khususnya memberi galakan kepada golongan belia dan remaja supaya dapat mengimarahkan rumah ibadat ini.

“Kemudahan ini juga memberikan keselesaan ahli kariah mengadakan program pendidikan al-Quran dan fardu ain, cera­mah agama dan acara tertentu ketika menyambut perayaan Islam,” katanya baru-baru ini.

Rakannya, Nazri Che Husin pula berkata, projek itu antara perancangan peringkat pen­tad­biran kampung dan pengurusan masjid selaras dengan pertambahan bilangan penduduk dan kawasan perumahan di situ.

“Kemudahan ini memberi ruang ibadah serta selesa lebih ramai ahli kariah termasuk pelajar tahfiz dan pengunjung yang singgah di pusat inap desa Hulu Cheka,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, kemudahan ibadat berkenaan sebagai platform menyuburkan nilai takwa, keima­nan dan kekuatan akidah ahli kariah.

Beliau yakin pengurusan masjid bersama kariah setempat mampu mencorakkan masjid baharu itu sebagai institusi yang cemerlang bukan sahaja dalam menyebarkan syiar Islam malah sebagai pusat memajukan ekonomi dan sosial.

“Institusi ini antara projek kerajaan yang memfokuskan pembangunan Islam dan penya­tuan ummah ketika kita berdepan pelbagai cabaran kehidupan pada masa akan datang,” ujarnya.