Berikutan itu, seramai 140 murid dan 14 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Gua, dekat sini menyertai Kursus Pengurusan Jenazah di sekolah tersebut baru-baru ini sebagai landasan untuk memberi pemahaman tentang pengurusan jenazah.

Penyelaras program, Ahmad Fadzli Bedu berkata, kursus ber­kenaan dapat memberi pemahaman dan kemahiran pengurusan jenazah sebagai tanggungjawab fardu kifayah yang wajib dilaksa­nakan oleh ahli kariah setempat.

“Pengurusan jenazah sesuai didedahkan di peringkat kanak-kanak. Bagi guru-guru di sini, kursus ini cukup bermanfaat ke­rana mereka dapat mendalami kemahiran berkenaan sebagai ahli kariah setempat.

“Ia juga sebagai pedagogi pembelajaran bagi menitip keinsafan kepada murid sekali gus membentuk insan beriman dan bertakwa menerusi elemen pendidikan Islam,” katanya selepas kursus tersebut.

Kursus anjuran Unit Bimbi­ngan dan Kaunseling dan Panitia Agama Islam sekolah itu dikendalikan oleh Imam Masjid Sultan Mahmud, Bandar Kuala Lipis, Mohd. Akmal Abdul Manab.

Sementara itu, Guru Besar SK Gua, Azhar Teh berkata, program berkenaan antara elemen pengisian modal insan bagi murid di situ menerusi kerjasama perancangan strategik dalam bidang akademik dan kokurikulum yang disusun oleh guru kaunseling serta pendidikan Islam.

“Saya bersyukur kerana murid-murid cukup berminat dan memberikan tumpuan ketika pemudahcara berceramah dan mengadakan simulasi pengurusan jenazah.

“Saya yakin mereka memperoleh maklumat awal tentang pe­ngurusan jenazah malah secara langsung menyerap pengetahuan asas fardu ain menerusi hafalan ayat suci al-Quran, zikir dan doa tertentu selain menginsafi tentang kematian,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peserta, Muhammad Aiman Mohd Redzuan, 12, berkata, sebagai seorang muslim, dia sewajarnya memenuhi tanggungjawab yang dituntut supaya mempelajari cara pengurusan jenazah.

“Kursus ini bukan sahaja dapat memberi pengetahuan tentang pengurusan jenazah dengan sempurna malah memberi kesedaran dalam kalangan guru dan murid mengenai kematian serta kewajiban semasa hidup berasaskan Islam,” katanya.