Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, keadaan tersebut mungkin disebabkan sudah banyak pusat jagaan seumpama itu dibuka di taman-taman perumahan.

Kata beliau, pembukaan taska di tempat kerja adalah penting berikutan banyak isu melibatkan keselamatan kanak-kanak berlaku pada masa kini.

“Penubuhan pusat jagaan ini juga bagi memastikan kanak-kanak mendapat asuhan dan didikan awal berkualiti selain mengurangkan kebergantungan kepada pembantu rumah warga asing.

“Ia juga secara tidak langsung memberi sokongan kepada ibu bapa bekerja untuk lebih komi­ted seterusnya menghasilkan produktiviti yang baik dalam perkhidmatan mereka,” katanya selepas merasmikan UCYP Kindergarden di Kolej Yayasan Pahang (KYP) City Kampus di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah Urusan KYP, Datuk Norhishamuddin Yaacob.

Menurut Shahaniza, usaha itu bukan satu bebanan sebaliknya adalah tanggungjawab sosial yang perlu dipikul majikan dalam menjaga kebajikan para pekerja.

“Syarikat-syarikat kecil mungkin berhadapan kekangan tertentu, namun bagi syarikat gergasi saya fikir mereka tidak berhadapan masalah untuk menubuhkannya dan menjadi contoh kepada syarikat lain.

“Saya menyeru kepada syarikat swasta dan agensi kerajaan supaya dapat membuka pusat jagaan kanak-kanak di pre­mis mereka dalam membantu mengurangkan beban ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, UCYP Kindergarden yang bakal dibuka April ini mampu memu­atkan seramai 55 kanak-kanak dan enam guru.

“Guru tadika ini adalah daripada pensyarah KYP sendiri selain pelajar KYP yang mengambil kursus pendidikan awal kanak-kanak boleh membuat latihan praktikal mereka di sini,” katanya.