Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, cadangan pembinaan kilang yang digerakkan menerusi inisiatif swasta itu menjadikan Malaysia negara pertama meneroka pasaran vaksin halal dunia.

Beliau berkata, pentauliahan status halal vaksin yang dikeluarkan oleh kilang berkenaan dibuat oleh badan farmaseutikal nasional.

“Saya dimaklumkan memang terdapat vaksin-vaksin halal yang sudah ada kajian mengenainya dan akan dibina juga di negara ini sebuah kilang vaksin halal pertama di dunia. Pembinaan kilang ini dalam proses.

“Sekiranya vaksin halal ini dapat dikeluarkan, saya yakin ia boleh memberi kepada alternatif kepada ibu bapa yang mahu mahukan vaksin halal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan acara Larian Sepat di sini hari ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah dilaporkan berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan hanya kanak-kanak yang sudah menerima suntikan vaksin imunisasi dibenarkan memasuki sesi persekolahan.

Isnin lalu, akhbar melaporkan beberapa pihak termasuk Persatuan Doktor Islam Malaysia dan I-Medik Malaysia menyarankan langkah itu dilaksana bagi melindungi kesihatan kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah seperti difteria dan campak.

Kementerian Kesihatan juga dilapor menubuhkan pasukan bagi mengkaji cadangan mewajibkan suntikan vaksinasi terhadap kanak-kanak.

Langkah itu berikutan kementerian berkenaan mendapat ‘desakan’ kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbangkan mewajibkan imunisasi vaksin ekoran keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian. - UTUSAN ONLINE