Cahyono Tandi, 47, warganegara Indonesia tetapi memiliki kad pemastautin tetap (MyPR) berkata, dia turut menawarkan tambang percuma kepada wanita yang ingin bersalin dan memerlukan perkhidmatan pergi ke hospital.

Menurutnya, dia tidak rugi memberikan perkhidmatan percuma itu yang dibuat sejak tiga tahun lalu.

“Rezeki saya tetap bertambah dan datang dalam pelbagai bentuk biarpun menawarkan perkhidmatan percuma kepada orang ramai.

“Saya tidak rasa susah, makan minum cukup dan boleh tanggung isteri dan seorang anak sejak menawarkan perkhidmatan percuma ini,” katanya yang telah menawarkan perkhidmatan kereta sewa selama lebih 20 tahun di sekitar bandar ini di sini baru-baru ini.

Cahyono berkata, apa yang dilakukannya itu adalah amal ibadah kerana rezeki datang daripada Allah SWT.

“Kadang-kala memang ada penumpang yang takut hendak naik kerana mungkin terfikir saya menipu ataupun rasa tambang mahal sebab kereta nampak se­perti mewah,” katanya.

Jelasnya, dia memulakan operasinya selepas subuh sehingga ke malam pada setiap hari dan mengakui hampir setiap hari dia berdepan situasi pelanggan yang kurang berkemampuan.