Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud berkata, pada ketika ini, projek perumahan baharu hanya disediakan tapak tanpa ada bangunan surau.

“Saya rasa pemaju perlu membina surau sekali terutama yang membabitkan projek perumahan besar. Ini adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka juga kepada masyarakat.

“Perkara ini saya akan bawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang untuk dibincangkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Perumahan Makmur Penor Utara Jaya (PUJ) di sini, semalam.

Sementara itu, Khairuddin berkata, Perumahan Makmur PUJ adalah projek perumahan di bawah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 600 buah rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana di situ.

“Rumah yang ditawarkan pada harga RM150,000 sebuah itu memberi alternatif kepada rakyat di negeri ini dalam suasana harga pasaran rumah yang begitu tinggi di negara ini,” katanya.

Beliau berharap penduduk di perumahan itu dapat menukar alamat bagi memudahkan pihaknya menyalurkan bantuan pada masa akan datang.

“Saya harapkan mereka dapat menukar alamat, sebab memudahkan saya untuk membantu mereka pada masa akan datang. Jika alamat lain dan mengundi di dalam kawasan DUN lain, sukarlah saya untuk memberikan bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta komuniti setempat supaya memainkan peranan dalam membantu agensi keselamatan menjaga keamanan dan ketenteraman di kawasan kediaman masing-masing.

Hal demikian kerana, katanya, tanggungjawab membabitkan isu keselamatan tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan dan agensi keselamatan semata-mata.