Penasihat program, Shira Haniza Yaakop berkata, program Care for Giant dan khidmat masyarakat selama dua hari itu merupakan inisiatif mahasiswa perhubu­ngan awam untuk menerapkan kesedaran berkenaan aktiviti konservasi serta meningkatkan jalinan kemasyarakatan bersama masyarakat Orang Asli.

“Melalui program ini seramai 30 pelajar bersama dua pensyarah menyertai aktiviti komuniti bersama anak-anak Orang Asli dalam usaha menggalakkan mereka untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ia juga dapat mempromosi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang dan memberikan kesedaran kepada mahasiswa terhadap pen­tingnya flora dan fauna serta kesedaran supaya tidak melakukan penganiayaan terhadap gajah termasuklah menghindari aktiviti menaiki gajah,” katanya di kampung Sungai Enggang, di sini baru-baru ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Mohd. Anuar Tahir.

Dalam pada itu, seorang mahasiswa, Er U Dia Othman, 23, berkata, peluang bertemu dan melihat sendiri kehidupan masyarakat Orang Asli memberikan pendedahan baharu kepadanya.

Katanya, pelbagai aktiviti dilakukan melibatkan kanak-kanak Orang Asli membuatkan mereka lebih memahami kehidupan masyarakat Orang Asli yang perlu terus diberi perhatian.

Sementara itu, seorang lagi mahasiswa, Nur Aniss Rossman, 23, berkata, peluang untuk melihat dengan lebih dekat kehidupan gajah dan memahami hidupan liar itu amat bermakna sekali.