Hairun Azmi yang pernah menuntut bahasa Jepun di Osaka Japanese Language Educations (OJLE) 25 tahun lalu, kini kembali semula ke bandar Osaka untuk melihat senario pembangunan tempatnya menuntut ilmu dahulu di samping berpeluang bertemu beberapa pensyarah di situ.

Hal ini ternyata mempunyai kebenaran seperti Firman Allah dalam surah Al-Imran: 137 bermaksud “Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul)”.

Selain mengunjungi rakan dan pensyarah di OJLE, Hairun Azmi juga sempat singgah seketika di Masjid Osaka atau dikenali Osaka Mosque, Nishi Yodogawa serta beriktikaf dan menunaikan solat seperti musafir lain.

“Setelah lama tidak beriktikaf di sini, saya kembali tenang dan menitiskan air mata apabila menjejakkan kali semula di masjid ini di samping beramal jariah memberikan sumbangan surah Yasin untuk kegunaan ahli kariah muslim di sini,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Hairun Azmi, Masjid Osaka terletak di pinggir kota yang menjadi tumpuan penduduk muslim tempatan serta pendakwah dari Malaysia, Pakis­tan, Indonesia dan Arab didirikan pada 2010 dengan keluasan 264 meter persegi.

“Tidak termimpi oleh saya untuk bermusafir semula di sini lantaran kekangan kewangan, tetapi setelah diajak oleh dua orang yang ingin mengembara ke Osaka lalu saya bersetuju menga­tur lawatan ke sana,” katanya.

Katanya, masjid yang terletak di 4-103-1 Owada, Nishi Yodogawa-ku, Osaka-shi, melambangkan agama Islam diterima oleh majoriti masyarakat tempatan selain pendatang dari Pakistan dan Arab yang bermastautin setelah berkahwin dengan penduduk tempatan.

Katanya, premis itu mempu­nyai empat tingkat terdiri daripada kedai halal, ruang solat untuk seramai 500 jemaah, madrasah dapur, tandas, tempat mengambil wuduk dan ruang makan.

Hairun Azmi berkelulusan Diploma Kejuruteraan dari Kolej Nasional Sasebo, Nagasaki berkata, dia sempat berkenalan dengan seorang warga Pakis­tan, Amjad A. Nazar, 50, yang meng­usahakan restoran makanan halal dan pasar raya berdekatan Masjid Osaka.

Katanya, menerusi pertemuan dengan Amjad yang sudah menetap 15 tahun di situ setelah berkahwin dengan wanita Jepun menjelaskan bahawa Masjid Osaka tidak sunyi malah menjadi tumpuan beriktikaf pengembara dari seluruh dunia.

Sempena pertemuan singkat itu, Hairun Azmi memberikan sumbangan peribadi kepada Amjad, iaitu makanan keropok ikan patin hasil pengusaha dari Jerantut dan surah Yasin.