Ahmad Shukri Ismail

Pengerusi YMB, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, bagi pemohon peserta e-Kasih dan anak yatim, mereka akan dibiayai sepenuhnya untuk penginapan dan pengangkutan sepanjang pengajian.

Katanya, YMB dengan kerjasama Queens College Kuala Lumpur telah memeterai persefahaman dalam usaha menempatkan mereka ke program pengajian tinggi dalam pelbagai kursus pe­ringkat diploma seperti Multimedia Kreatif, Perhotelan, Pengurusan Sumber Manusia, Perbankan Islam dan Pendidikan Prasekolah.

“Pengurusan Queens College juga akan menguruskan permohonan pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Ahmad Shukri berkata, bagi menghargai sumbangan pene­roka Felda kepada pembangunan Malaysia, Queens College de­ngan kerjasama Felda juga menawarkan penginapan percuma kepada generasi tanah ranca­ngan itu yang ingin melanjutkan pelajaran di kolej tersebut.

“Mereka juga diberikan insentif khas sebanyak RM500 oleh Felda apabila mendaftar pengajian manakala 30 peratus daripada pinjaman PTPTN bakal ditanggung oleh pihak Felda,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Queens College berkata, pihak­nya prihatian dengan nasib go­longan kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan untuk me­lanjutkan pengajian ke IPT.

“YMB dengan kerjasama Qu­eens College menyediakan kuota 500 penuntut baharu khas untuk pemohon peserta e-Kasih dan anak yatim serta warga Felda.

“Kami berharap peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang berkelayakkan,” katanya.

Beliau berkata, diploma Qu­eens College diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Pendidikan Tinggi dan graduan kolej itu boleh menyambung pengajian ke peringkat ijazah di mana-mana universiti awam di negara ini.

“Sesiapa yang berminat boleh menghubungi sekretariat YMB-Program Bantuan Ke Menara Gading di talian 011-17880029 di Pusat Equestrian Tanjung Lumpur di sini,” katanya.