Pelepasan benih ikan ber­kenaan disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sempena lawatan kerja beliau di daerah ini.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Datuk Adnan Hussain berkata, benih ikan yang dilepaskan ialah daripada spe­sies lampam sebanyak 50,100 ekor, baung (500 ekor), temakang (500 ekor), temelian (100 ekor) dan kelah (100 ekor).

“Tahun lepas Jabatan Perikanan negeri melepaskan kira-kira 1.2 juta benih ikan daripada pelbagai jenis di sungai-sungai seluruh negeri ini bagi meningkatkan populasinya.

“Jumlah itu lebih tinggi berbanding kira-kira 987,000 ekor ikan pada 2015, sekali gus membuktikan komitmen kita terhadap usaha berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas mengiringi Ahmad Shabery dalam program tersebut.

Adnan memberitahu, pihak­nya melaksanakan pelbagai usa­ha secara berterusan bagi menambah jumlah ikan air tawar, sekali gus dapat meningkatkan hasil tangkapan nelayan sungai di negeri ini.

Beliau optimis pelepasan benih ikan akan memberikan faedah kepada penduduk setempat, selain meningkatkan populasi ikan di sungai-sungai.

Dalam pada itu beliau mem­beritahu, jumlah nelayan darat yang berdaftar dengan Pejabat Perikanan di negeri ini adalah seramai 1,760 orang yang mana 539 orang dari daerah ini.

“Jumlah pendaratan ikan su­ngai di Pahang pula adalah sekitar 978 tan metrik setahun terma­suk 14.75 tan metrik di daerah ini,” katanya.