MOHD. SHARKAR SHAMSUDDIN

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lan­­­congan dan Kebudayaan ne­geri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, bagi Januari dan Februari tahun ini, kira-kira 2.23 juta pelancong mengunjungi enam destinasi menarik di negeri ini berbanding 1.82 juta pelancong tahun lalu.

Kata beliau, enam destinasi berkenaan adalah Genting Highlands, Kuantan, Cherating, Pulau Tioman, Bukit Fraser dan Taman Negara.

“Bagi dua bulan pertama tahun ini, kira-kira 1.79 juta pelancong mengunjungi Genting Highlands, Kuantan (347,420 orang), Che­rating (37,433 orang), Pulau Tioman (14,926 orang), Bukit Fraser (26,499 orang) dan 13,193 orang mengunjungi Taman Negara.

“Bagi tempoh sama tahun lalu, kira-kira 1.71 juta pelancong mengunjungi Gen­ting Highlands, Kuantan (305,774 orang), Chera­ting (35,187 orang), Pulau Tioman (13,715 orang), Bukit Fraser (19,188 orang) dan Taman Negara (11,234 orang),” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mohd. Sharkar menjawab soalan Datuk Fong Koong Fuee (BN-Cheka) yang ingin tahu sambutan pelancong terhadap program Tahun Melawat Pahang 2017 dan statistik kemasukan pelancong bagi dua bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, Pe­nge­rusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Pertanian, Industri dan Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, hanya Jabatan Pertanian bertanggungjawab membuat penilaian dan mengeluarkan sijil pengesahan makanan organik iaitu myOrga­nic.

Beliau berkata, sehingga ­akhir tahun lalu, seramai 32 pengusaha yang terlibat dalam industri organik mendapat persijilan myOrganic yang bermula pada 2006.

“Jabatan Pertanian menyediakan insentif kepada pengusaha organik dalam bentuk penambahbaikan kemudahan sedia ada seperti stor dan bengkel, penye­diaan peralatan kecil seperti bakul pemasaran dan penimbang serta mesin kecil seperti mesin rumput dan pam penyembur baja,” ujarnya.