Program dua hari melibatkan 21 pelajar dan 10 guru anjuran Backpakers Malaysia itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tahfiz tentang ilmu alam semulajadi serta akti­viti lasak tanpa terkongkong de­ngan proses pembelajaran di kelas.

Pengerusi penganjur program berkenaan, Nor Afende Aminu­ddin berkata, lokasi air terjun berkenaan dipilih memandangkan penganjuran aktiviti atau berehat di hutan dengan kehijauan alam dapat memberi ketenangan minda kepada anak-anak tahfiz.

“Keindahan alam semula jadi dengan deruan air terjun yang kadangkala terpancar warna pe­langi secara tidak langsung dapat menyuburkan rohani dan jasmani anak-anak tahfiz yang sedang membesar.

“Mereka yang berusia antara 11 hingga 18 tahun memerlukan aktiviti di luar kelas sesuai dengan naluri dan kehendak semua jadi pembesaran insan,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Nor Afende, pelbagai aktiviti seperti tahlil, qasidah, solat berjemaah dan merentas hutan dijalankan dalam program berkenaan yang memberi kelainan kepada mana-mana penganjuran perkhemahan.

Katanya, program itu dianggap berjaya kerana pelajar tahfiz dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup di dalam hutan, berdikari, menanamkan semangat se­tiakawan dan bekerjasama.

“Idea penganjuran program seumpama ini adalah baik kerana memberi kelainan terhadap aktiviti pelajar di Maahad Tahfiz Muaz Al-Hikmah.

“Program ini berjaya kerana dapat mendidik pelajar survival di dalam hutan di samping menyayangi alam semula anugerah Allah SWT,” katanya.