Presiden Peka, Puan Sri Sha­riffa Sabrina Syed Akil berkata, aktiviti pembalakan dan pengeluaran pokok hutan yang sedang dijalankan di tanah seluas 668.79 hektar itu memusnahkan biodiversiti kawasan berkenaan termasuk Gua Hari Malaysia yang merupakan antara gua batu kapur tercantik di Malaysia.

“Saya sudah masuk ke Gua Hari Malaysia dan mendapati kawasannya sangat cantik kerana terdapat air terjun, jadi saya bimbang keunikan dan keindahan gua ini akan terjejas.

“Malah, aktiviti pembersihan hutan tersebut telah mengakibatkan Sungai Merapoh yang merupakan sumber bekalan air bersih kepada kira-kira 10,000 penduduk di lapan buah kampung sekitar pekan Merapoh tercemar dan keruh,” katanya selepas me­lakukan tinjauan ke kawasan hutan berkenaan di sini, baru-baru ini.

Menurut Shariffa Sabrina, hasil siasatan Peka mendapati kawasan hutan yang sedang dibersihkan itu diserah milik kerajaan negeri kepada Lembaga Kemajuan Per­usahaan Pertanian Corporation Sdn. Bhd. (LKPP) untuk tujuan pertanian berskala besar.

Katanya, proses pembukaan hutan yang giat dilaksanakan pada masa ini telah memusnahkan keindahan alam semujadi di kawasan itu dan menjejaskan kehidupan penduduk setempat.

“Akibat pembukaan hutan ba­nyak bencana akan berlaku kerana hutan adalah satu khazanah alam yang dikurniakan Allah untuk kita jaga. Bukan kita tak boleh buka hutan atau kawasan untuk kelapa sawit dan sebagainya, tapi apa yang kita nampak sekarang ini pembukaan hutan yang sangat teruk,” tegasnya.

Sehubungan itu, Peka dan SAM menggesa pihak berkuasa ne­ge­ri supaya mewartakan kawasan tersebut dan hutan tanah kerajaan yang masih ada di sekitar Merapoh sebagai kawasan perlindungan terutama hutan simpan kekal.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelanco­ngan dan Kebudayaan serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar diharap dapat mewartakan Merapoh sebagai kawasan sensitif alam sekitar dan destinasi ekopelancongan yang perlu dikekalkan.