DATUK PADUKA ZUHAIRI AB. KADIR
DATUK PADUKA ZUHAIRI AB. KADIR 

Presidennya, Datuk Paduka Zuhairi Ab. Kadir berkata, peluang bagi mendapatkan pembelaan disediakan pertubuhan itu menerusi Program Kebajikan dan Khidmat Imigran Peka yang mana sehingga kini 12,000 peserta telah berdaftar.

“Peka akan berusaha menemui Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hujung tahun ini untuk mengemukakan surat rayuan dan mengajukan senarai nama peserta yang menyertai program terbabit.

“Peserta program itu ialah individu yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah kerana ditipu ejen atau dianiaya majikan yang tidak bertanggungjawab memperbaharui dokumen kerja mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuhairi berkata, usaha yang dilakukan adalah untuk memohon peluang kedua kepada warga asing terlibat mendapatkan kelulusan khas atau sebarang kaedah penyelesaian yang difikirkan sesuai oleh pihak kementerian sendiri.

Sementara itu katanya, Peka masih membuka peluang kepada warga asing yang ingin mendaftar kerana program itu memberi banyak manfaat kepada mereka dan waris keluarga.

“Sebelum ini, media melaporkan Peka turut menawarkan pesertanya perlindungan insuran apabila ditimpa kemalangan dan turut mendapat pampasan kematian.

“Peserta juga secara langsung diberi perkhidmatan bantuan guaman secara percuma, urusan pengebumian atau pengantaran pulang jenazah ke negara asal,” jelasnya.

Menurutnya, warga asing yang memerlukan khidmat daripada Peka boleh menghubungi talian 017-9709999 atau 010-2990909. - UTUSAN ONLINE