KUANTAN 31 Okt. - Semasa ditubuhkan pada 2015, Pandan Damai Soccer Kids (PDSK) adalah sebuah kelab bola sepak taman di Pandai Damai 1, dekat sini bagi melatih kanak-kanak di situ bermain sukan berkenaan.
Ketika itu, kelab tersebut melatih kira-kira 30 pemain dari taman berkenaan dalam lingkungan usia lima tahun hingga 16 tahun atas semangat mahu membangunkan bakat dalam sukan bola sepak dan mengisi masa lapang kanak-kanak di situ dengan aktiviti berfaedah.
Namun kini, PDSK menjadi kelab bola sepak peringkat akar umbi di daerah ini yang menempa nama dan menjadi pilihan dengan mempunyai 150 pelatih yang majoritinya orang luar dari taman itu.
Pengurusnya, Fakharuddin Amiruddin berkata, tujuan penubuhan PDSK yang kini mempunyai enam jurulatih berlesen adalah menggalakkan kanak-kanak dan remaja di Pandan Damai 1 bermain bola sepak sekali gus mengelakkan mereka terjebak dengan perkara tidak berfaedah.
“Tujuan kami pada asalnya untuk mengasah bakat dan mengisi masa lapang mereka pada waktu petang dengan bermain bola sepak. Kami mengajar dan melatih mereka dengan teknik bermain yang betul.
“Apabila menyertai PDSK, mereka sibuk dengan bermain bola sepak dan tidak terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Padang Bola Sepak Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini baru-baru ini.
Menurut Fakharuddin, PDSK kini mempunyai 150 pemain yang majoritinya luar dari Pandan Damai 1 termasuk dari Kemaman, Terengganu.
“Siapa sangka, kami yang bermula daripada kelab komuniti di taman boleh berubah menjadi antara kelab bola sepak peringkat akar umbi yang mendapat sambutan di daerah ini,” katanya.
Tambahnya, PDSK merupakan satu-satunya kelab di daerah ini yang aktif menganjurkan kejohanan iaitu antara lima hingga enam kejohanan setahun.
“Kita menganjurkan pertandingan terbuka, bila ada pertandingan banyak kelab bola sepak menghantar penyertaan dan pasti memberi pengalaman kepada pemain kita.
“Kita juga aktif menyertai kejohanan di luar. Sasaran kelab ini adalah untuk memajukan peringkat akar umbi sukan bola sepak di daerah ini,” katanya.