Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri, Muhamad Radzi Johari berkata, pihaknya sentiasa mengingatkan peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil jika mereka gagal mematuhi peraturan di bawah skim itu mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Antaranya ialah peniaga diwajibkan menjual barangan harga kawalan tidak melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakannya dengan barangan lain.

“Namun, peniaga digalakkan menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga diperoleh lebih rendah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan skim berkenaan di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan 16 jenis barangan bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan selama tujuh hari sehingga 9 November ini.

Antara barangan tersebuy ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan dan import bertulang, daging biri-biri import bertulang, telur ayam, tomato, kelapa biji dan parut, bawang besar, ubi kentang dan kacang dal. - UTUSAN ONLINE