Pengerusi Pasdec, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, hadiah yang keseluruhannya berjumlah RM11 juta itu ditawarkan bagi pembelian produk perumahan dan komersial milik syarikat tersebut di sekitar Kuantan dan Temerloh bernilai antara RM220,000 hingga RM1.5 juta.

“Jenis kereta yang ditawarkan adalah Perodua Bezza, Perodua Myvi, Proton Persona, Proton Saga, Proton Exora dan kenderaan utiliti sukan (SUV) keluaran Proton.

“Sebanyak 243 unit kediaman dan komersial yang keseluruhannya bernilai RM115 juta ditawarkan dalam promosi ini,” katanya ketika berucap pada pelancaran jualan berkenaan di sini sema­lam.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Pasdec, Goh Song Han.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, kesemua hartanah yang ditawarkan sempena karnival ber­kenaan sudah siap dan memiliki Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Beliau berkata, bagi setiap pem­belian produk hartanah, Pasdec turut menawarkan rebat menarik bagi 82 unit produk komersial dan perumahan yang lain.

Sementara itu, katanya, sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Pasdec turut menyerahkan satu unit kedai pejabat milik syarikat itu kepada Koperasi Orang Asli Muslim Malaysia Berhad.

“Pasdec turut mengecualikan pembayaran tunggakan sewa semasa yang ditanggung oleh koperasi ini. Jumlah keseluruhan nilai sumbangan satu unit kedai dan pengecualian sewa adalah sebanyak RM136,000,” katanya.