Timbalan Presiden PAKP, Haslihelmy DM Zulhasli sehubungan itu menggesa kerajaan melalui Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan Menterinya, Dr. Xavier Jayakumar supaya mengkaji semula penarikan moratorium berkenaan.

Beliau berkata, moratorium tersebut dikeluarkan kerajaan terdahulu selepas melihat kesan terhadap alam sekitar yang serius ekoran aktiviti perlombongan bahan mineral itu.

“Tiada satu pun dialog diadakan dengan pihak berkepentingan seperti komuniti tempatan di kawasan berhampiran aktiviti itu yang mahu industri bauksit dihentikan.

“Ini menunjukkan Xavier tunduk kepada pemain industri bauksit dengan meletakkan kepentingan industri mengatasi kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Xavier berkata, tempoh moratorium terhadap kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari negeri ini yang berakhir 31 Mac depan tidak dilanjutkan.

Menurut Xavier, semua aktiviti melombong dan pengeksportan bahan mineral berkenaan boleh diteruskan, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu serta penguatkuasaan undang-undang lebih ketat.

Jelas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu, keputusan tersebut diambil susulan keuntungan kepada kerajaan negeri yang pada 2015 menerima royalti RM47 juta.

Mengulas lanjut, Haslihelmy berkata, PAKP menentang moratorium berkenaan dihentikan bagi mencegah berulangnya insiden pencemaran seperti sebelum ini.

“Antara simpanan stok bauksit mencemarkan sumber air dan menjadikan jalan, sungai serta perairan pantai berwarna merah,sekali gus menjejaskan nelayan dan ekosistem. - UTUSAN ONLINE