Melalui tema yang julung kali diadakan itu menyaksikan murid terlibat dalam perbarisan memakai pakaian ‘perang’ se­perti uniform Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pakaian perang ala Ninja dan pakaian seragam tentera dalam perang 100 tahun melibatkan England serta Pe­rancis.

Malah, bagi menyemai semangat cintakan negara, setiap pasukan juga diberikan nama berlandaskan kepada tokoh pejuang negara iaitu Mat Kilau bagi rumah kuning, Tok Janggut (Hijau), Tok Gajah (Biru), dan Datuk Bahaman bagi rumah merah.

Guru Besar SK Lebu, Salina Amin berkata, pemilihan tema peperangan atau patriotik yang julung kali dalam sukan sekolah tahun ini bertujuan menyemai semangat patriotik dan cintakan negara kepada murid yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa depan.

“Melalui tema ini, murid dan ibu bapa terlibat secara langsung dapat mengingati kembali zaman peperangan dan pro­ses kemerdekaan dalam serta luar negara yang menuntut perjuangan serta pengorbanan.

“Ini akan menyemai semangat cintakan negara kepada murid dan menyedarkan ibu bapa betapa pentingnya semangat cintakan negara serta terus mengekalkan keharmonian negara,” katanya dalam Kejohanan Sukan SK Lebu Ke-41 itu di sini.

Kejohanan tersebut dirasmikan oleh Ahli Majlis Daerah Bentong, Datuk Jasvir Singh Ram Singh.

Pada majlis itu, Jasvir Singh yang juga Pengerusi Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu (JCMB) Bentong menghulurkan sumbangan sebanyak RM5,000 bagi aktiviti di sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Salina berkata, pendekatan berkenaan dapat menarik minat ibu bapa untuk datang ke kejohanan itu melihat anak-anak mereka memakai pakaian ‘perang’ selain menyaksikan hasil kerjasama mereka.

“Sekolah tidak mengeluarkan duit kali ini yang mana pakaian disediakan ibu bapa dan guru manakala hiasan rumah sukan pula dibahagikan kepada beberapa pihak iaitu Kampung RTP Lebu untuk rumah Kuning, Merah (Ladang Krau 2 dan 4), Hijau (Kilang Sawit Krau) dan Biru disediakan penduduk Kampung Lebu,” katanya.

Sementara itu, Jasvir Singh berkata, JCMB akan terus memainkan peranan bagi membantu masyarakat termasuklah dalam menggalakkan aktiviti sukan dan meningkatkan semangat patriotik.