Warga emas berkenaan yang dikenali sebagai Pak Long, 61, disabitkan kesalahan memiliki dadah jenis ganja yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Dia bagaimanapun bersyukur apabila diberi peluang kedua untuk berubah menjadi insan yang lebih baik.

Menceritakan kisah silamnya, Pak Long yang pernah bekerja di sebuah syarikat swasta terkemuka di ibu negara berkata, dia terjebak dengan penyalahgunaan dadah jenis ganja kerana ingin mencuba.

“Hanya kerana ingin mencuba, Pak Long menjadi ketagih dan mula mencari bekalan sendiri. Rakan-rakan penagih adalah dalam kalangan golongan elit sahaja dan kami mudah dapat bekalan apabila ‘out station’.

“Saya bebas menghisap dan menjual ganja tanpa rasa bersalah kerana dengan penampilan yang sentiasa kemas serta segak yang bukan sahaja mengelirukan orang sekeliling, malah pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Penghuni Penjara Penor hari ini.

Pada majlis berkenaan, Pak Long dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Penghuni Penjara Penor yang dirasmikan oleh Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hassan Hussin.

Menceritakan lebih lanjut, Pak Long berkata, bagaimanapun perbuatannya itu tidak bertahan lama apabila ditangkap bersama ganja seberat satu kilogram di rumahnya pada tahun 2010.

“Hukuman 39 (B) ADB itu membuatkan Pak Long terkedu kerana membayangkan nyawa akan berakhir di tali gantung.

“Dari situ, Pak Long mula reda dengan ketentuan hidup dan berusaha menjadi ‘orang baik’ biar­pun sebelum ini hanya setahun sekali ke masjid, itu pun pada hari raya sahaja,” katanya.

Selama tinggal di sel BA seorang diri katanya, dia berusaha untuk berubah dan terus berdoa agar diberi peluang kedua untuk hidup.

“Alhamdulillah, hukuman Pak Long diringankan dan kini membilang bulan dan tahun untuk keluar penjara bertemu anak dan isteri,” katanya.