Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, sasaran berkenaan mampu dicapai dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Kelapa negeri Pahang yang telah mula digerakkan pada masa ini.

“Pada masa ini, Pahang hanya menghasilkan sebanyak 23 juta biji kelapa setahun dan kita terpaksa mengimport sebanyak lima juta biji kelapa dari luar setahun.

“Jadi dengan pelaksanaan pe­lan ini, kita yakin mampu mencapai sasaran berdasarkan kepada perancangan pembangunan kelapa melibatkan pelbagai usaha dan inisiatif,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas maj­lis pelancaran penanaman kelapa keliling rumah dan karnival tani peringkat negeri yang di­sempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di Padang Awam Felda Chemomoi di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Pertanian negeri, Mohd. Yusof Sutan dan Pengarah Veterinar negeri, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor. 

Menurut Shafik Fauzan, melalui pelan berkenaan, pihak kerajaan negeri akan memberikan kelulusan kepada syarikat-syarikat untuk membuka tanah bagi menanam kelapa secara komersial.

Selain itu beliau berkata, pi­haknya akan terus menggalak dan meneruskan kempen penanaman kelapa dalam kalangan penduduk kampung termasuklah melalui pro­gram penananam kelapa keli­ling rumah.

Beliau memberitahu pada ma­sa ini, terdapat kira-kira 6,000 hektar kawasan penanaman kelapa komersial direkodkan di seluruh negeri yang sebahagian besarnya menanam kelapa pandan.

“Pada masa ini, kita telah me­laksanakan projek penananam kelapa terbesar seluas 404 hektar di Rompin, melibatkan penana­man kelapa pelbagai jenis oleh sya­rikat Ambang Perintis,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam usaha meningkatkan jumlah pengeluaran kelapa di negeri ini.