Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sehubungan itu pihaknya akan terus memberikan fokus kepada pelancongan berasaskan produk pengeluaran pertanian khususnya durian Musang King yang mendapat sambutan luar biasa.

“Durian bukan lagi setakat raja buah tetapi kedudukannya telah meningkat sehingga menjadi bilateral diplomasi antara Malaysia dan juga China.

“Malah pelancong China dilihat sanggup datang ke Raub dan Bentong untuk menikmati durian Musang King yang mana saya difahamkan hotel-hotel sekitar Raub dan Bentong menerima permintaan yang luar biasa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Durian Musang King Makanan Asli di sini, semalam.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Nur­haslina Abdul Hamid.

Yang turut hadir, Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Idros Yahya.

Menurut Mas Ermieyati tarikan terhadap produk durian Musang King merupakan petanda positif kepada masa depan industri pelancongan negara di peringkat dunia.

Justeru beliau berharap semua pihak akan terus berganding bahu mempromosikan pelancongan Malaysia serta merebut peluang dalam sektor pelancongan negara.

Sementara itu, Idros berkata, daerah Raub dan Bentong terus mendapat tumpuan daripada pelancong asing khususnya China yang datang untuk menikmati keenakan durian Musang King.

Katanya, selain daripada mewujudkan pelbagai produk berasaskan durian, pengusaha pelancongan juga menyediakan pakej makan durian di dalam dusun yang mendapat sambutan positif daripada pelancong.

“Durian Musang King merupakan salah satu produk ekopelancongan yang mana ramai pelancong datang dengan tujuan untuk makan durian Musang King malah baru-baru ini seramai 3,500 pelancong China datang untuk menikmati keenakan durian Musang King di Raub dan Bentong,” ujarnya.