Yang Dipertua MPK, Datuk Fadzilla Salleh berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan tidak berlaku sebarang kekeliruan atau salah anggap sesetengah pihak berikutan laporan tersebut.

“Saya tidak boleh memberi maklum balas (mengeluarkan kenyataan) kerana saya hanya akan menjawab kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan pihak bertanggungjawab dalam paparan susulan LKAN itu (Ketua Audit Negara)(AG),” katanya ketika menjawab melalui aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Berdasarkan LKAN 2017 yang mula diakses orang awam pada pukul 10 pagi semalam, MPK ditegur kerana kurang cekap dalam menguruskan hasil papan iklan di kawasan pentadbirannya.

Antara kelemahan dikesan ialah kegagalan MPK mengutip tunggakan sewa tapak berjumlah RM645,544 serta permit struktur papan iklan berjumlah RM78,948 yang belum dijelaskan penyewa.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa penggunaan kadar bayaran papan iklan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 tidak diperakukan.

Malah perubahan kadar bayaran permit struktur papan iklan juga dilakukan tanpa melalui pindaan undang-undang dengan sebanyak sembilan papan iklan dikenakan caj tidak mengikut bilangan paparan dan sebanyak 48 papan iklan tidak disenggara dengan baik.

Sepanjang 2017 juga Bahagian Pembangunan Lestari MPK meluluskan sebanyak 815 tapak papan iklan, manakala Bahagian Bangunan pula meluluskan sebanyak 356 permit struktur papan iklan.

Bahagian Pelesenan pula meluluskan sebanyak 15,117 lesen visual papan iklan sepanjang tahun 2017 dan semua kutipan hasil papan iklan ini sangat penting kerana ia menyumbang 3.41 peratus daripada pendapatan MPK.