Sepanjang tempoh berkenaan, tindakan seperti mengosongkan stok simpanan bauksit, mewujudkan sebuah kawasan simpanan bersepadu dan sistem pembersihan sisa bahan mineral itu seharusnya dilaksanakan.
Selepas lebih setahun tempoh moratorium berlalu, perlombongan bauksit masih hangat diperkatakan di negeri ini dengan pelbagai pihak menyuarakan pandangan dan hasil kajian mereka berhubung kegiatan berkenaan.
Ikuti laporan wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH, MOHAMAD SHOFI MAT ISA dan AMEER FERDAUS AB. AZIZ serta jurugambar, AHMAD ZAKKI JILAN berhubung perkembangan isu ini.

 

KUANTAN 26 Mac -  Sudah lebih setahun arahan menghentikan sementara semua aktiviti perlombongan bauksit di daerah ini dilaksanakan iaitu sejak 15 Januari 2016 bagi membolehkan satu pelan penyelesaian pencemaran dilaksanakan oleh kerajaan.

Tempoh moratorium itu dilanjutkan empat kali dengan yang terakhir sehingga 31 Mac ini bagi memberi laluan kepada pemegang permit import (AP) khas me­ngeks­port­­ stok simpanan bauksit yang masih terdapat di tiga pusat pe­ngumpulan iaitu Sungai Ular, Felda Bukit Goh dan Gebeng.

Khabarnya, tempoh moratorium itu dijangka disambung lagi. Tindakan bersebut dikatakan perlu dilakukan memandangkan masih ada pengusaha bauksit ha­ram beroperasi di kawasan baharu.

Kegiatan itu menjadi antara punca jumlah stok simpanan bahan mineral berkenaan yang sepatutnya diangkut keluar tidak mengalami penyusutan ketara.

Semasa mula-mula moratorium dikenakan, stok simpanan bauksit di daerah ini dianggarkan sebanyak lima juta tan metrik dan berdasarkan rekod, sejumlah 5.2 juta tan metrik bauksit dieksport ke luar negara dalam tempoh kira-kira 11 bulan pada tahun lepas.

Jika diambil kira angka berke­naan, longgokkan bahan mi­neral tersebut sepatutnya sudah dikeluarkan sepenuhnya. Namun sehingga 6 Disember lalu, masih terdapat 2.95 juta tan metrik stok simpanan bauksit yang perlu diangkut dan dieksport ke China menerusi Pelabuhan Kuantan dalam tempoh moratorium keempat (1 Januari hingga 31 Mac 2017).

Selain itu, syarat-syarat berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan juga dipercayai menjadi punca pergerakan mengeksport bahan mineral berkenaan perlahan.

Diimbas kembali faktor yang mendorong kerajaan memutuskan menghentikan sementara atau mengenakan moratorium terhadap kegiatan perlombongan bauksit di daerah ini, adalah kerana masyarakat setempat mendakwa dihimpit pelbagai masalah yang dikatakan berpunca daripada aktiviti itu.

Antaranya pencemaran udara, menjejaskan kualiti kesihatan dan penglihatan, risiko keselamatan pengguna jalan raya serta menjejaskan ekonomi penduduk.

Rupa-rupanya, bukan itu sahaja ancaman yang disebabkan kegiatan berkenaan. Masih segar dalam ingatan apabila kolam bekas perlombongan bauksit meragut nyawa tiga kanak-kanak termasuk dua beradik awal bulan lepas.

Mereka ditemukan lemas di dalam sebuah kolam takungan bekas lombong bahan mineral tersebut di Taman Sungai Karang Jaya. Lokasi itu dikatakan bukan kawasan bekas lombong bauksit yang diluluskan kerajaan negeri.

Dari sudut lain, tidak dapat dinafikan arahan moratorium berjaya 'menjernihkan' wajah bandar ini yang sebelum ini dicemari dengan 'debu merah' selain perlombongan itu sendiri mampu merancakkan ekonomi.

Namun, pelbagai faktor lain yang lebih menyeluruh perlu diambil kira sebelum membuat keputusan lanjut berhubung kegiatan berkenaan.

Perkara itu bergantung kepada pematuhan kumpulan terlibat termasuk pemain industri dan pihak yang menyediakan kemudahan terhadap peraturan ditetapkan dan kesungguhan mereka dalam memastikan kegiatan perlombongan tersebut membawa manfaat ekonomi dengan kesan paling minimum.

Selagi tiada petanda me­yakinkan bahawa perlombongan bauksit boleh dijalankan de­ngan selamat dan tidak menjejaskan alam sekitar, selagi itulah isu ini sukar mencari jalan keluar meskipun sudah lebih setahun arahan moratorium dikenakan.