Pengerusi Tabika RRM Kampung Kolek, Wan Kamarulzaman Wan Ahmad (gambar) berkata, pihaknya memohon supaya dibaiki segera kerana masalah berkenaan bukan baharu berlaku tetapi sudah lima tahun.

“Saya harap pihak berkenaan termasuk pihak Kemas dapat datang ke sini dan melihat sendiri keadaan tabika di kampung ini.

“Jika dilihat pada luarannya memang nampak baik, tetapi apabila lihat di dalam, keadaan siling sudah melendut. Keadaan kayu di atas siling berkenaan juga tidak selamat kerana telah reput di makan anai-anai,” katanya selepas majlis gotong-royong anjuran Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Sungai Karang (Bakkis) di tabika berkenaan, di sini semalam.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Bakkis, Muhd. Johari Mahmud.

Wan Kamarulzaman berkata, tabika berkenaan merupakan bekas tapak surau lama yang digunakan sebagai tempat belajar kanak-kanak di kampung itu sejak tahun 1986.

“Kita tidak mahu apabila berlaku kejadian tidak diingini, baharu pihak berkenaan mahu bertindak membaiki siling di tabika ini. Ini kerana malang tidak berbau,” katanya.

Sementara itu, Muhd. Johari berkata, demi keselamatan kanak-kanak dan guru di tabika berkenaan, pihak berwajib perlu segera membaik pulih siling melendut berkenaan.

“Apabila kita lihat keadaan tabika ini, kita tidak sangka keadaannya begini. Luaran nampak baik, tetapi apabila lihat di dalamnya, keadaannya membahayakan penghuninya,” katanya.