Pengarah SWCorp negeri, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, modul baharu meliputi amalan 3R (kurangkan, kitar semula dan guna semula) itu disediakan untuk keperluan murid-murid tabika di seluruh negeri termasuk Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bermula tahun ini.

“Kita edarkan modul ini dengan harapan dapat memberi penera­ngan dan penjelasan bagaimana program penjagaan dan amalan kebersihan boleh dilaksanakan.

“Kita berterima kasih kepada Kemas yang memberikan sokongan yang mana kerjasama yang dijalin cukup bermakna dalam usaha kita menerapkan amalan pengurusan sisa pepejal dan penjagaan kebersihan kepada masyarakat,” katanya pada majlis pelancaran modul baharu pengasingan sisa pepejal itu di Dewan Rakan Muda Bera di sini baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.

Dalam pada itu, Afandi berkata, SWCorp sentiasa melaksanakan pelbagai program secara berterusan bagi menerapkan amalan kitar semula dan pengasingan sisa pe­pejal dalam kalangan masyarakat.

Kata beliau, pelaksanaan modul pengasingan sisa pepejal itu merupakan antara pendekatan terbaik dalam mendidik masyarakat dalam mengamalkan 3R.

“Kita dalam usaha me­nerapkan pengurusan sisa pepejal, penjagaan kebersihan, program kesedaran awam dan program kitar semula yang sedang kita kete­ngahkan.

“Kita sasarkan murid tabika kerana untuk membina budaya ini, ia harus bermula di peringkat ini supaya membesar dalam budaya yang telah diterapkan dalam minda mereka,” katanya.