Melihat kepada pergerakannya yang unik, taichi juga boleh dikatakan sebagai salah satu cara terbaik untuk bermeditasi bagi mengurangkan tekanan.

Kini, keunikan senaman itu boleh dipelajari dengan menyertai kelas latihan taichi master yang akan dikendalikan oleh tiga jurulatih terkemuka dari China iaitu Li Tianjin, Li Junjie dan Yan Sujie yang dikenali sebagai ‘wanita besi’ taichi.

Program itu dianjurkan oleh pengasas­ Taichi Zenyuan di Hangzhou, China, Jack Ma dan artis antarabangsa terkemuka, Jet Li dengan­ kerjasama Resorts World Genting bagi mempromosi taichi kepada rakyat negara ini.

Presiden Taichi Zenyuan, Chen Wei, berkata, latihan tersebut akan diadakan di sini dari 1 Ogos hingga 27 Ogos ini.

“Antara latihan yang akan dipelajari oleh peserta termasuklah lapan pergerakan pertahanan diri dan 24 pergerakan (perantaraan) dan taichi Chen sebanyak 72 pergerakan.

“Terdapat kelas junior yang boleh disertai kanak-kanak berusia seawal empat tahun dan kelas senior sehingga umur 74 tahun,” katanya­ kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Bagi mereka yang berminat menyertai kelas latihan tersebut, bayaran yang dikenakan amat berpatutan iaitu RM30 (sekali latihan pada hujung minggu) dan RM50 untuk enam dan 12 kursus latihan.

Selain itu, terdapat pakej istimewa iaitu RM110 ke atas disediakan kepada mereka yang menginap di Chin Swee Residence.

Pakej itu termasuk kelas latihan taichi, penginapan dan sarapan.

Kelas akan diadakan dari Isnin hingga Khamis.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Resort World Genting di talian 03-2179 1886 atau layari laman web, www.rwgenting.com.