Safari Night membolehkan pengunjung melihat le­bih dekat hidupan liar di Taman Negara manakala penggemar aktiviti lasak seperti mendaki dapat menikmati keindahan alam se­mula jadi Gunung Bakar.

 Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, kedua-dua produk itu dilihat berpotensi dan sedang dalam proses pembangunan oleh kerajaan negeri serta pihak-pihak yang terlibat.

“Kita dalam proses mendapatkan kebenaran daripada pihak-pihak berkaitan termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhi­litan) bagi menjadikan gunung setinggi 914.4 meter ini produk baharu selepas Gunung Tahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis ramah mesra bersama masyarakat di Kampung Labu, di sini baru-baru ini.

Menurut Wan Amizan, Kampung Labu juga sedang diba­ngunkan sebagai pusat program Safari Night yang mana kertas kerjanya disediakan bersama Persatuan Pelancong Taman Negara.

Katanya, pembangunan Safari Night yang berpusat di Labu Sentral memberi manfaat besar kepada penduduk kampung sekitarnya apabila sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi membina jalan raya di kawasan ber­kenaan.

Di samping itu, kata beliau, sebanyak RM200 juta dianggar diperlukan bagi membina jambatan dan laluan sepanjang 27 kilometer dari Kampung Labu ke Taman Negara yang akan menjadi laluan Safari Night berkenaan.

“Pada masa ini, perbincangan­ dilakukan dengan pelbagai pi­hak khususnya Perhilitan bagi mengelakkan salah faham apabila kita membenarkan pelancong masuk ke kawasan larangan Taman Negara.

“Antara cadangan kita adalah membuka kawasan berkenaan dalam tempoh tertentu dan menetapkan kaedah tertentu bagi memastikan haiwan liar tidak terjejas,” ujarnya.

Beliau berkata, selain meran­cak­kan lagi pelancongan, dua produk pelancongan baharu tersebut berupaya  memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.